GERAKKAN KUASA PENGGUNA SIRI 1 (12.5.2016)

RUANG BICARA : ASPIRASI ANAK MUDA

Ruang Bicara :SEMANGAT AZAM TAHUN BAHARU

Khamis, 7 April 2016

PPIM PANDANG SERIUS ISU PERKHIDMATAN GRABCAR, UBER. ‪#‎AnakMuda‬ ‪#‎YusufAzmi‬ ‪#‎AMIM‬

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memandang serius kegawatan dalam industri teksi tempatan sejak kemunculan GrabCar dan Uber.

Pengerusinya, Datuk Nadzim Johan mengakui, menerima banyak aduan berkaitan dan fenomena itu jelas dapat dilihat di mana ia berlaku tanpa sebarang petunjuk jelas dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) dikatakan tidak mengambil tindakan proaktif bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

“Isu ni sudah lama berlaku, hampir setahun, cuma tak diperkatakan kerana mahu beri peluang kepada pihak berkenaan untuk tangani masalah ini, tetapi nampaknya tiada apa yang berubah, malah pihak berkenaan seakan-akan mengelak untuk bertemu, sekali gus kami gagal untuk membincangkan jalan penyelesaiannya.

“Kita bukan mahu hentam perkhidmatan melalui aplikasi baharu yang canggih bagi masyarakat zaman moden kini, tetapi tengok pada rasional di mana tempat pemandu teksi nak cari makan, kalau kerajaan melalui agensi sepatutnya tidak memberi bantuan sewajarnya,” katanya ketika sidang media di pejabat PPIM, semalam.

Nadzim berkata, pihaknya mendesak agar satu regulasi dapat dibentuk oleh pihak berkuasa bagi memberi situasi adil kepada semua pihak dan fenomena kemudahan pengangkutan awam masa kini tidak ‘membunuh’ industri pemandu teksi.

“Apa yang amat kami tekankan dalam isu ini juga ialah faktor keselamatan pengguna yang memilih Uber atau GrabCar ini di mana pemandu serta kenderaan yang diguna pakai khidmatnya hanya diketahui di dalam sistem sahaja.

"Sesiapa sahaja boleh masukkan data untuk tawar perkhidmatan, namun siapa mereka? Apa status kenderaan yang mereka bawa? Apa jaminan yang ada pada penumpang selaku pengguna jika berlakunya kemalangan atau sebarang perlakuan jenayah?,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (Persim), Kamarudin Mohd Hussain turut mengakui bahawa pendapatan pemandu teksi kini terus berkurangan malah telah mencecah kadar 60 peratus.

“Jelas sekali majoriti pemandu teksi kian tertekan apabila punca pendapatan mereka dirompak dengan cara sebegini dan tidak mustahil jika ia berterusan, industri cari makan sebagai pemandu teksi akan berkubur apabila semua sudah tidak dapat bersaing akibat kealpaan kerajaan dalam memberi tumpuan kepada nasib pemandu teksi.

 “Bukan menolak kemajuan, malah pemandu teksi tak pernah tolak perubahan yang dilakukan oleh kerajaan. Jika mereka mahu membuat keputusan Uber dan GrabCar diberi permit sekalipun tetapi bagilah keutamaan kepada pemandu teksi,” katanya.

 Menurutnya, nasib pemandu teksi sepenuh masa begitu menyedihkan apabila mereka tidak mampu menyara kehidupan apabila pintu rezeki mereka disekat begitu sahaja.

 Sementara itu, ketika ditanya mengenai aplikasi MyTeksi yang diwujudkan tidak lama dahulu, beliau mendedahkan bahawa aplikasi berkenaan adalah satu penipuan terhadap pemandu-pemandu teksi.

“Mereka yang membuat aplikasi berkenaan hanya mahukan data daripada pemandu-pemandu teksi iaitu berkenaan lokasi serta angaran caj yang dikenakan.

“Selepas dapat semua data, mereka sertakan perkhidmatan GrabCar sebagai pilihan alternatif selain teksi dengan menawarkan harga yang lebih murah,” katanya.

Bagi ahli Persatuan Kenderaan Pemandu Teksi KL Berhad, Ab. Rahim Mansor, kerajaan perlu mengharamkan terus perkhidmatan Uber dan GrabCar jika mahu industri teksi terus ‘hidup’ di negara ini.

 “Saya menjadi pemandu teksi lebih 15 tahun, apa yang berlaku kini boleh menutup periuk nasi kami jika tiada tindakan diambil. Mereka (GrabCar dan Uber) semakin bebas dan tidak dikawal oleh kerajaan.

 “Kami (pemandu teksi) bersusah payah dapatkan lesen, permit dan mengikuti segala undang-undang berkaitan, tetapi mereka yang tidak berkenaan pula bebas merampas pelanggan yang menjadi punca rezeki kami,” katanya.

Selasa, 5 April 2016

MEGA FESTIVAL : FESTIVAL FESYEN & MAKANAN TERGEMPAK 2016 SASAR 100,000 PENGUNJUNG #YusufAzmi #AnakMuda

Kuala Lumpur: Kira-kira 100,000 pengunjung disasarkan menghadiri Mega Festival Fesyen dan Makanan Islam 2016 di tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Sabtu dan Ahad ini.

Presiden AMIM, Yusuf Azmi berkata, karnival bermula 10 pagi hingga 10 malam itu sudah menarik minat lebih 400 pempamer fesyen dan makanan serta beberapa pemaju perumahan sebagai nilai tambah.

Jenama yang menyertai karnival ini termasuk pengeluar tudung Naelofar Hijab, Zara Zya, Atita Haris, Azad Jasmin, My Usrah Gallery, Iman Boutique, Rated Apparel serta jenama baru di pasaran tempatan.

Lebih menarik, 300 pengunjung terawal karnival yang dianjurkan Persatuan Anak Muda Islam Malaysia (AMIM) dan 21 Legacy Event Management itu bakal diberikan baucer wang tunai yang boleh digunakan di gerai pempamer selain cenderahati.

“Karnival ini juga sebagai sokongan AMIM kepada kumpulan Gen Y dalam menguruskan acara besar. 21 Legacy Event Management adalah syarikat dianggotai mahasiswa muda masih menuntut di universiti,” katanya pada sidang media, hari ini.

Turut hadir, Penasihat AMIM, Abdul Halim Ikhsan; Pengurus Operasi 21 Legacy Event Management, Amzry Abd Rahman; Penolong Pengurus Projeknya, Muhamad Syamil Mohd Sauffi dan pelakon, Iqram Dinzly.

Amzry berkata, pihaknya turut menyediakan skuad yang akan memantau harga termasuk menu makanan pada karnival itu bagi memastikan pengunjung tidak terbeban.

“Harga sewa untuk gerai pempamer fesyen hanya RM1,500 manakala bagi gerai pempamer makanan RM500. Kami memang nak pengunjung berbelanja dengan harga murah dan disebabkan itu memberikan tawaran sewa lebih murah berbanding biasa.

“Sebenarnya penyertaan untuk pempamer sudah peuh namun jika permintaan untuk vendor gerai pempamer masih tinggi, kami mungkin boleh sediakan antara 20 hingga 30 tempat lagi,” katanya

Talian hotline 014 5208913 turut dibuka untuk sebarang maklumat lanjut mengenai Mega Festival Fesyen dan Makanan Islam 2016.

Iqram Dinzly pula berkata, antara rakan artis turut sama menyokong dan akan hadir di festival itu termasuk Sham Kamikaze, Sandra, Ippo Hafiz, Nomad, Zara Zya dan Atita Haris.

Mega Festival Fesyen dan Makanan Islam ini juga disokong Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan (KPDNKK), Persatuan Anak Muda Islam Malaysia (AMIM), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Yayasan Patriot Negara Malaysia (YPNM).

Sumber - http://www.hmetro.com.my/node/127799