GERAKKAN KUASA PENGGUNA SIRI 1 (12.5.2016)

RUANG BICARA : ASPIRASI ANAK MUDA

Ruang Bicara :SEMANGAT AZAM TAHUN BAHARU

Khamis, 7 April 2016

PPIM PANDANG SERIUS ISU PERKHIDMATAN GRABCAR, UBER. ‪#‎AnakMuda‬ ‪#‎YusufAzmi‬ ‪#‎AMIM‬

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memandang serius kegawatan dalam industri teksi tempatan sejak kemunculan GrabCar dan Uber.

Pengerusinya, Datuk Nadzim Johan mengakui, menerima banyak aduan berkaitan dan fenomena itu jelas dapat dilihat di mana ia berlaku tanpa sebarang petunjuk jelas dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) dikatakan tidak mengambil tindakan proaktif bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

“Isu ni sudah lama berlaku, hampir setahun, cuma tak diperkatakan kerana mahu beri peluang kepada pihak berkenaan untuk tangani masalah ini, tetapi nampaknya tiada apa yang berubah, malah pihak berkenaan seakan-akan mengelak untuk bertemu, sekali gus kami gagal untuk membincangkan jalan penyelesaiannya.

“Kita bukan mahu hentam perkhidmatan melalui aplikasi baharu yang canggih bagi masyarakat zaman moden kini, tetapi tengok pada rasional di mana tempat pemandu teksi nak cari makan, kalau kerajaan melalui agensi sepatutnya tidak memberi bantuan sewajarnya,” katanya ketika sidang media di pejabat PPIM, semalam.

Nadzim berkata, pihaknya mendesak agar satu regulasi dapat dibentuk oleh pihak berkuasa bagi memberi situasi adil kepada semua pihak dan fenomena kemudahan pengangkutan awam masa kini tidak ‘membunuh’ industri pemandu teksi.

“Apa yang amat kami tekankan dalam isu ini juga ialah faktor keselamatan pengguna yang memilih Uber atau GrabCar ini di mana pemandu serta kenderaan yang diguna pakai khidmatnya hanya diketahui di dalam sistem sahaja.

"Sesiapa sahaja boleh masukkan data untuk tawar perkhidmatan, namun siapa mereka? Apa status kenderaan yang mereka bawa? Apa jaminan yang ada pada penumpang selaku pengguna jika berlakunya kemalangan atau sebarang perlakuan jenayah?,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (Persim), Kamarudin Mohd Hussain turut mengakui bahawa pendapatan pemandu teksi kini terus berkurangan malah telah mencecah kadar 60 peratus.

“Jelas sekali majoriti pemandu teksi kian tertekan apabila punca pendapatan mereka dirompak dengan cara sebegini dan tidak mustahil jika ia berterusan, industri cari makan sebagai pemandu teksi akan berkubur apabila semua sudah tidak dapat bersaing akibat kealpaan kerajaan dalam memberi tumpuan kepada nasib pemandu teksi.

 “Bukan menolak kemajuan, malah pemandu teksi tak pernah tolak perubahan yang dilakukan oleh kerajaan. Jika mereka mahu membuat keputusan Uber dan GrabCar diberi permit sekalipun tetapi bagilah keutamaan kepada pemandu teksi,” katanya.

 Menurutnya, nasib pemandu teksi sepenuh masa begitu menyedihkan apabila mereka tidak mampu menyara kehidupan apabila pintu rezeki mereka disekat begitu sahaja.

 Sementara itu, ketika ditanya mengenai aplikasi MyTeksi yang diwujudkan tidak lama dahulu, beliau mendedahkan bahawa aplikasi berkenaan adalah satu penipuan terhadap pemandu-pemandu teksi.

“Mereka yang membuat aplikasi berkenaan hanya mahukan data daripada pemandu-pemandu teksi iaitu berkenaan lokasi serta angaran caj yang dikenakan.

“Selepas dapat semua data, mereka sertakan perkhidmatan GrabCar sebagai pilihan alternatif selain teksi dengan menawarkan harga yang lebih murah,” katanya.

Bagi ahli Persatuan Kenderaan Pemandu Teksi KL Berhad, Ab. Rahim Mansor, kerajaan perlu mengharamkan terus perkhidmatan Uber dan GrabCar jika mahu industri teksi terus ‘hidup’ di negara ini.

 “Saya menjadi pemandu teksi lebih 15 tahun, apa yang berlaku kini boleh menutup periuk nasi kami jika tiada tindakan diambil. Mereka (GrabCar dan Uber) semakin bebas dan tidak dikawal oleh kerajaan.

 “Kami (pemandu teksi) bersusah payah dapatkan lesen, permit dan mengikuti segala undang-undang berkaitan, tetapi mereka yang tidak berkenaan pula bebas merampas pelanggan yang menjadi punca rezeki kami,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan